Friday 19 February 2010

KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB KITA KEPADA MASYARAKAT

Peringatan

Memandangkan banyak hasil tulisan silam yang pernah tersiar dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tanah air telah hilang, justeru dalam ruangan ini akan disalin semula, dimuat dengan makalah-makalah yang masih ada dalam simpanan untuk ingatan dan kenang-kenangan sebagai koleksi peribadi-Pauzi.

KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB KITA KEPADA MASYARAKAT
Membentuk masyarakat Islam
Pauzi Haji Awang

Membentuk masyarakat Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab bagi tiap-tiap umat Islam yang telah bersumpah setia, berikrar mengaku (Naik saksi) bahawa tiada Tuhan (yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan mengaku bahawasanya Muhammad itu Pesuruh-Nya. Dengan dua kalimah ini (Syahadah) seseorang itu menjadi anggota umat Islam, menjadi ahli yang bertanggungjawab untuk menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah Pencipta Yang Maha Besar. Berdosalah mereka yang telah menjadi umat Islam, tetapi tidak mengerjakan segala tanggungjawabnya, nerakalah tempat perkembaliannya.

Sama Rata Dalam Islam

Tidak ada perbezaan bagi orang yang telah menjadi umat Islam. Perbezaan warna kulit tidak menjadi ukuran. Tidak lebih yang berpangkat dan bergelar, dan tidak lebih orang yang berketurunan tengku dan sayed, malah sama sahaja dalam menunaikan kewajipan agama, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Tuhan tidak mengurniakan syurga melainkan bagi orang yang bertakwa dan kepada-Nya sahajalah terserahnya syurga Firdaus, syurga ‘Adn dan syurga-syurga lain. Sebaliknya pula, neraka jahanamlah bagi mereka yang menderhaka kepada Tuhan sekalipun berbagai-bagai bintang kehormat tersemat di dadanya, dan tinggi melangit pangkat dan keturunan.

Kepincangan Masyarakat Sekarang

Masyarakat sekarang, masyarakat pincang, dan penuh dengan aneka noda dan dosa. Pelacuran, perjudian dan seribu macam kejahatan bermaharajalela. Kejadian berpunca daripada beberapa sebab. Setengah daripadanya ialah: Cahaya Islam telah mulai malam jiwa sesetengah orang-orang Islam, mata mereka telah dikaburi oleh pengaruh Barat yang membunuh, sanubari mereka diselaputi oleh kejahilan, dan fikiran penuh dengan kejahatan. Oleh kerana inilah, maka kebenaran ditukarkan dengan kepalsuan dan kebatilan. Agama dipandang sebagai benda yang tak berharga, hingga berani mereka menuduh Islam: Agama penghalang kemajuan dan sebagainya. Perkara-perkara inilah yang semestinya kita umat Islam membaiki dan membetulnya semula. Marilah kita tinjau bagaimanakah cara mengatasinya.

Membersihkan Kekotoran

Membentuk masyarakat Islam sebagaimana yang semestinya adalah kewajipan tiap-tiap umat Islam, maka untuk mengatasi hal ini hanyalah dengan rasa tanggungjawab masing-masing dan mempunyai keinsafan untuk membaikinya. Tiap- tiap umat Islam hendaklah membersihkan segala yang disebutkan itu dengan air keislaman yang suci bersih. Masing-masing hendaklah menunaikan suruhan Tuhan dan tinggalkan segala larangan-Nya. Anak-anak kecil yang baharu lahir hendaklah diasuh dengan ajaran Islam. Alim ulama janganlah manjadi patung berdiam diri. Hamburkanlah ajaran Islam ke seluruh masyarakat. Janganlah bekerja untuk kepentingan orang-orang yang telah rosak akhlaknya dan terpengaruh dengan aliran kebaratan yang merbahaya. Tarikkanlah mereka dari gelap gelita kejahilan, dan bersihkanlah mereka dengan air nasihat Islam. Semoga dengan ini masyarakat akan dapat berjalan di atas landasan yang dikehendaki oleh Islam dan cahaya Islam akan dapat bersinar dengan terang benderang di seluruh masyarakat, dan akan terhindarlah dari tenggelam ke dasar lautan dosa dan noda.

Membentuk Peribadi

Satu soal yang tidak kurang pentingnya dalam masyarakat Islam ialah membentuk peribadi umatnya. Sebelum memasuki maudu‘ (Membentuk Peribadi) mustahaklah lebih dahulu mengetahui sebab-sebab keruntuhan peribadi, supaya dapatlah membentuknya dengan senang.

Sebenarnya, peribadi kebanyakan kita telah dirosakkan oleh kebendaan, hingga kebendaan itu dipandangnya sebagai suatu perkara yang mesti diutamakan. Sepenuh tenaga ditumpukan ke arah ini untuk memenuhkan jasmani hingga menyebabkan tuntutan rohani yang sama-sama mesti diberi keutamaannya dilupakan. Jadi, oleh kerana tidak ada perseimbangan ini, maka keseluruhan hidup menjadi pincang. Janganlah hendaknya tuntutan jasmani seperti mencari kekayaan, mencari keseronokan hidup dipuja-puja dan diagung-agungkan, sedangkan tuntutan rohani dilupakan. Sembahyang, puasa tidak pernah dicuba seumur hidupnya. Tidaklah bohong kalau penulis katakan kebanyakan orang-orang Islam hari ini mencuaikan sembahyang lima waktu. Mereka lupa pengabdian terhadap Tuhan. Anak yang berumur tujuh tahun tidak pernah disuruh sembahyang, yang berumur sepuluh tahun tidak pernah dipukul kerana meninggalkan sembahyang. Yang amat dikesalkan lagi ialah ibu bapa sendiri tidak pernah menyembah Tuhan, anggota wuduknya tak pernah dikenakan air sembahyang. Bahkan juga yang telah menjadi penganjur, menjadi pemimpin rakyat pun tidak pernah menyembah Tuhan. Inilah suatu faktor yang terbesarnya menyebabkan kejahatan dan kemungkaran berleluasa. Semuanya ini adalah berpunca keruntuhan peribadi. Untuk menegakkan semula kedaulatan rohani dan keperibadian yang telah runtuh ini, ialah dengan menjadikan kebendaan sebagai jambatan atau wasitah yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan hakiki dan hendaklah tuntutan rohani diberikan hak-haknya. Semoga dengan ini akan terbentuklah peribadi yang sihat yang dikehendaki oleh Islam.

Bahasa Rasmi Islam

Tidak sempurna membentuk peribadi sekiranya bahasa rasmi tidak dipelajari. Bahasa rasmi yang dimaksudkan di sini ialah bahasa Arab (Bahasa Quran dan Hadis) iaitu bahasa rasmi bagi umat Islam yang digunakan dalam sembahyang. Mempelajari bahasa ini adalah satu kewajipan yang besar bagi umat Islam dan berkewajipan pula mengajarnya kepada seluruh umat Islam terutamanya kepada anak-anak yang masih berumur setahun jagung. Sekurang-kurangnya biar mereka tahu membaca Fatihah, tahiyyat dan doa yang rasmi di dalam sembahyang. Mujurnya untuk memperkembangkan bahasa ini segala-galanya telah tersusun dan buku-buku telah terkarang. Umat Islam dikehendaki membuka lembarannya dan mempelajarinya.

Perekonomian

Islam bukanlah menyuruh umatnya beribadat menyembah Tuhan sepanjang waktu, pun tidak juga menyuruh mereka berpuasa setiap-tiap hari, dan tidak juga menyuruh mereka membilang tasbih setiap masa, malah disamping membuat ibadat hendaklah bekerja membanting tulang untuk meneguhkan perekonomian. Islam melarang keras umatnya berpeluk tubuh menanti emas jatuh ke riba dan menanti intan berlian turun dari langit. Tetapi Islam sentiasa menggalakkan umatnya bekerja untuk meninggikan taraf hidup dan meneguhkan perekonomian. Islam benci melihat umatnya hidup meminta-minta menjadi pengemis. Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda menganjurkan umatnya ke arah bekerja dan membuat ibadat dengan sabdanya: “Bekerjalah untuk dunia engkau seolah-olah engkau hidup selama-lamanya dan bekerjalah untuk akhirat engkau seolah-olah esok engkau menemui maut.” Dengan sepotong hadis ini dapatlah kesimpulan bahawa Islam mengambil berat tentang pekerjaan mencari nafkah dan sara hidup, juga menyuruh berbuat amal ibadat berbakti kepada Tuhan. Kedua-dua ini hendaklah dikerjakan mengikut waktu masing-masing, di dalam mencari kehidupan untuk mengukuhkan ekonomi, janganlah sekali-kali mendapatnya dengan secara haram seperti hasil curian, rompakan, pelacuran, wang menang loteri, menang judi dan sebagainya. Sebaliknya pula hendaklah perekonomian itu didirikan di atas asas kebenaran dan hasil dari saluran yang diredai Tuhan. Dengan ini akan terbinalah perekonomian yang teguh dan akan terbentuklah masyarakat Islam sebagai yang dikehendaki.

Belanjawan

Bukan sedikit bilangan hartawan dan jutawan di tanah air kita, dan bukan sedikit ada orang yang bergaji besar tetapi amat sedikit orang yang mengeluarkan perbelanjaan untuk berjihad menegakkan agama Allah. Kalau pun ada hanya sekumpulan kecil manusia yang telah insaf atau terpaksa mengeluarkan wangnya disebabkan senarai pemungut derma telah dihulurkan kepadanya. Golongan yang lebih ramai ialah yang membelanjakan wangnya pada jalan yang tidak diredai Allah.

Amat baik kalau kita sebutkan soal mendirikan masjid Negara yang masih hangat diperbincangkan hari ini dengan agak panjang, sebab ada sangkut pautnya dengan soal membentuk masyarakat Islam dan ada kena mengena dengan soal perbelanjaan yang di atas tadi. Di sini timbullah satu soal iaitu:

Perlukah mendirikan Masjid Negara? Sebagai menjawabnya, mendirikan masjid adalah perlu sekali bagi membentuk masyarakat Islam sekiranya mengikut lunas-lunas yang diredai Tuhan. Tetapi oleh kerana orang-orang kita sangat bakhil dan tidak kena pada tempatnya dalam mengeluarkan perbelanjaan hingga untuk mendirikan sebuah masjid (Masjid Negara) sudah tidak terdaya dan tidak sanggup mendirikannya dengan wang halal (Bukan wang loteri) maka lebih baik tak usah mendirikannya, tiadakah dermawan-dermawan yang sudi menderma untuk ini? Di manakah orang bergaji besar, bermotokar besar? Tak sanggupkah mereka memberi derma tiap-tiap bulan untuk mendirikan Masjid Negara ini?

Jadi, tak usahlah bermegah-megah membina sebuah masjid (Masjid Negara) kalau dengan hasil loteri (haram). Mendirikan masjid ini (Negara) dengan wang haram, berertilah umat Islam di negara kita Persekutuan Tanah Melayu sudah tidak bertenaga dan Persekutuan Tanah Melayu yang terkenal kaya dengan hasil buminya sudah tidak bererti lagi. Kalau masjid ini didirikan dengan hasil loteri, maka negara kita akan merasa malu, umat Islam yang telah insaf akan menangis mengenangkan kelemahan ini.

Umat Islam, insaflah sekarang, berdermalah untuk Masjid Negara, hulurkanlah pertolongan kepada fakir miskin yang bergelimpangan di kaki-kaki lima membaca ayat-ayat suci, berdendang dengan suara sayu meminta sesuap nasi, semoga dengan ini, akan berkuranglah pengemis-pengemis yang bertaburan di tanah air kita yang kaya raya, dan tidaklah mereka terasing dalam negerinya sendiri.

Orang-orang yang bergaji besar dan orang-orang yang berpendapatan banyak, sudilah kiranya menghulurkan bantuan untuk kepentingan agama Islam.

Perdamaian

Umat Islam di tanah air kita hari ini telah dipecah-belahkan oleh beberapa ideologi. Untuk membentuk masyarakat Islam, maka perlulah mereka yang sedang dihanyutkan oleh arus ideologi-ideologi ini mengadakan perdamaian iaitu hendaklah meninggalkan ideologi-ideologi yang bertentang dengan agamanya dan kembalilah kepada Islam untuk sama-sama membentuk masyarakat Islam yang diredai Tuhan. Semoga dengan ini akan terciptalah masyarakat Islam dan akan terlaksanalah Baldatun Tayyibah Wa Rabbun Ghafur.

No comments:

Post a Comment