Saturday 26 December 2009

Haji Ya'acob Bin Haji Yahya

HAJI YA‘ACOB BIN HAJI YAHYA

Kelahiran

Haji Ya‘acob (1314-1397H) bin Haji Yahya bin Haji Ilyas, lebih dikenali dengan Pakda Haji Kob atau Pakda Haji Tok Imam. Mempunyai dua orang adik beradik perempuan iaitu Safiah dan Fatimah. Beliau adalah anak sulung, lahir pada malam Selasa 17 Rejab 1314H di Kampung Machang dalam sebuah keluarga yang kuat berpegang kepada agama dan mementingkan ilmu pengetahuan.

Pendidikan

Pada peringkat awalnya, Haji Ya‘acob mendapat didikan daripada ayahandanya sendiri. Sebagai seorang alim, ayahnya memberi bimbingan dan penumpuan yang sebaik-baiknya kepada anak lelakinya itu bersama dengan anak-anak tempatan yang sebaya dengannya, diasuh membaca al-Quran, diajar ilmu tajwid dan asas-asas fardu ain. Apabila meningkat remaja, Haji Ya‘acob mendapat peluang pendidikan yang lebih luas lagi di bawah bimbingan Tok Kemuning yang membuka sistem pengajian pondok di Machang.

Untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Haji Ya‘acob meninggalkan kampung halaman pergi ke Kota Bharu mengikuti pengajian di Masjid Muhammadi yang merupakan pusat pendidikan yang terkenal pada masa itu. Beliau juga berulang alik ke Bachok menerima pelajaran daripada nendanya Haji Ilyas. Setelah beberapa tahun menerima didikan dan pelajaran daripada tokoh-tokoh ulama yang mencurahkan ilmu pengetahuan di masjid tersebut, beliau melanjutkan pula pelajarannya di Makkah al-Mukarramah sehingga berjaya menguasai berbagai-bagai ilmu fikah, usuluddin, tasawwuf, tafsir, nahu, saraf dan asas-asas ilmu falak. Beliau menguasai kitab-kitab Arab dan juga Jawi.


Mengunjungi Tanah Suci Makkah

1. Kali Pertama

Ketika berusia 13 tahun, pada 14 Rejab 1327H Haji Ya‘acob pergi ke Makkah kali pertama dan tinggal di sana selama 5 tahun. Dalam masa tersebut itulah beliau memperdalami ilmunya dengan mengikuti halaqah-halaqah ilmiah di Masjidil Haram sehingga berjaya menguasai berbagai-bagai ilmu Islam dan Bahasa Arab.

2. Kali Kedua

Setelah 25 tahun menjalankan tugasnya sebagai imam, menjalankan berbagai-bagai aktiviti dengan penuh dedikasi, pada 1 Rejab 1357 Haji Ya‘acob bercuti kerana pergi ke Makkah buat kali yang kedua bersama-sama isterinya Wan Lijah, anak-anaknya Zahrah dan Maryam. Tentulah tidak sempurna bagi seseorang yang pergi ke Makkah kalau tidak menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. di Madinah al-Munawwarah. Dalam kesempatan ini beliau dan keluarganya pergi ke Madinah, beliau mencatatkan:

Pada Jamadilawwal saya sampai di Madinah al-Munawwarah kali yang kedua kerana ziarah Penghulu kita Saiyyidul Mursalin. Saya duduk di Madinah al-Munawwarah selama 27 hari dengan isteri dan anak-beranak dan cucunda Abdul Rahim. Balik ke Makkah sampai pada 19 Jamadithani tahun 1358. Balik dari Madinah itu ikut Badar dan ziarah Syuhada’ Badar. Kali ini saya pergi ke Badar pada hari Khamis 9 Rejab tahun 1358 bersamaan 24 Ogos 1939. Saya pergi ke Ta’if dan tinggal satu minggu sahaja. Sampai balik dari Ta’if ke Makkah pada malam Jumaat 17 Rejab.

Setelah hampir dua tahun di Makkah, selesai mengerja Haji tahun 1358 beliau berangkat pulang ke tanah air. Dalam buku catatannya beliau menulis:

Kemudian daripada mengerja haji tahun 1358 itu saya turun ke Jawi dan sampai di Kelantan malam Khamis 18 Rabiulawwal 1359H bersamaan 25 April 1940. wuquf di Arafah tahun 1358 itu jatuh hari Jumaat, Haji Akbar.

Sekembali dari Tanah Suci itu, beliau meneruskan semula kariernya sebagai imam. Semasa bercuti itu, pentadbiran surau dijalankan oleh Imam Muda iaitu Haji Awang bin Ali, adik iparnya sendiri, berasal dari Kampung Batu Sebutir, Padang Pak Amat, Pasir Puteh. Beliau telah membina rumahtangga dengan Che Fatimah adik Haji Ya‘acob sendiri.

Menjadi Imam

Sekembalinya dari Tanah Suci pada tahun 1332H bersamaan 1914M beliau dilantik menjadi Imam Surau Baka, mengambil tempat ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 1331H.

Sesuai dengan jawatannya itu, Haji Ya‘acob banyak menghafaz surah-surah al-Quran dan mengetahui banyak masalah fikah. Sehubungan ini al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Yusuf Kemuning pernah menerangkan: “Haji Ya‘acob seorang yang pintar dan alim ilmu fikah.”

Sebagai seorang yang masih muda, ketika semangat masih berkobar-kobar, beliau menjalankan tugasnya sebagai imam dengan penuh dedikasi dan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran surau dengan kemas dan teratur. Beliau memang terkenal sebagai seorang yang menjalankan sesuatu dengan penuh teliti dan cermat.

Tugasnya sebagai imam meliputi kuasa nikah kahwin, memberi nasihat dan kaunseling kepada pasangan-pasangan yang bermasalah, mengutip zakat, termasuk fitrah, urusan jenazah, mengambil tahu tentang hal ehwal anak-anak mukim, soal pendidikan anak-anak mukim diberi perhatian yang sebaik-baiknya. Beliau menjadi tumpuan tempat masyarakat meminta nasihat, pertolongan dan menyelesaikan bermacam-macam masalah masyarakat.

Sejarah Perkahwinan

1. Selepas empat tahun memegang jawatan imam, ketika meningkat usia 22 tahun, barulah Haji Ya‘acob mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis bernama Wan Lijah (Wan Khadijah) anak kepada Tuan Haji Wan Abdullah, keluarga bangsawan berasal dari Sumatera, sebuah keluarga besar, mulia dan terhormat, tinggal di Kampung Pemanak. Daripada isteri pertama ini beliau dikurniai tiga orang anak perempuan:

(1) Zahrah @ Zainab: Lahir malam Isnin 25 Ramadan 1340H= 22 Mei 1922 jam 7 malam di Kampung Baka

(2) Maryam: Lahir hari Rabu 21 Rejab 1344H= 3 Februari 1926, jam 3.30 petang, di Kampung Baka

(3) Siti Fatimah: Lahir pada malam Rabu 4 Safar 1367H meninggal ketika dilahirkan.

2. Pada 14 Syawwal 1359H, beliau berkahwin dengan Halimah binti Abdul Latif, dari Pasir Mas, tetapi perkahwinan ini tidak berpanjangan lama. Mereka bercerai pada hari Selasa 20 Safar 1360H tanpa mendapat zuriat.

3. Kemudian, pada 2 Zulkaedah 1360H= 20 November 1941 beliau berkahwin pula dengan Zaharat binti Muhammad Tahir, Kampung Saring, Pasir Puteh, dikurniakan 8 cahaya mata, 5 perempuan dan 3 lelaki:

(1) Aminah: Lahir hari Ahad 5 Safar 1363H= 30 Januari 1944, 6.30 pagi di Kampung Baka

(2) Pa’ezah: Lahir hari Isnin 12 Rabiulawwal 1366H= 3 Februari 1947, 11 pagi di Kampung Saring, Pasir Puteh

(3) Pauziah: Lahir malam Khamis, 14 Rabiulakhir 1369H= 2 Februari 1950, 7.30 malam di Kampung Bukit Tiu

(4) Raihan: Lahir hari Ahad 20 Rabiulawwal 1372H= 6 Disember 1952, jam 6 petang di Kampung Bukit Tiu

(5) Roihana: Lahir malam Isnin, 9 Syawwal 1374H= 30 Mei 1955M, jam 11 malam di Kampung Bukit Tiu

(6) Ahmad: Lahir malam Khamis 25 Zulkaedah 1377= 12 Jun 1958M, jam 8 malam, di Kampung Bukit Tiu, meninggal ketika dilahirkan

(7) Muhammad Zaki: Lahir hari Sabtu 6 Safar 1380H= 30 Julai 1960M, jam 10 pagi di Kampung Bukit Tiu

(8) Mohd Shafiek: Lahir malam Isnin 27 Zulkaedah 1382H= 22 April 1963M, jam 2 pagi, di Kampung Bukit Tiu

4. Pada 15 Jamadilakhir 1367H, malam Isnin, beliau berkahwin dengan Hajah Nik Som binti Haji Nik Wan, sepupu beliau sendiri. Perkahwinan ini tidak berpanjangan kerana kemudiannya telah bercerai tanpa kurniaan zuriat.

Jasa Dan Sumbangan

Khidmat Nasihat: Salah satu yang ada pada Haji Ya‘acob ialah suka berdebat. Sudah menjadi tabiat dirinya suka berdebat dan berhujah dalam pelbagai masalah dan isu. Kekuatannya berhujah, dibantu pula oleh suaranya yang lantang dan kuat. Apabila bercakap lebih-lebih lagi berhujah, beliau mengeluarkan suara yang tinggi dan lantang. Beliau terkenal sebagai seorang pendebat yang handal.

Sehubung ini sebagai tempat tumpuan masyarakat, beliau sering diminta nasihat dan panduan serta hujah-hujah oleh mereka yang menghadapi perbicaraan mahkamah. Oleh kerana sistem guaman belum meluas pada masa itu, maka Haji Ya‘acob satu-satunya tokoh ilmuwan di Kampung Baka, beliau menjadi tempat rujukan memohon bantuan fikiran dan hujah-hujah oleh mereka yang menghadapi perbicaraan mahkamah. Selain daripada beliau, seorang lagi tokoh yang juga menjadi tempat rujukan khidmat nasihat ialah Engku Mat Padang Raja.

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, Haji Ya‘acob memang gemar berhujah terutamanya dalam masalah-masalah fiqah dan usuluddin. Pada suatu hari ketika pulang dari satu majlis kenduri, beliau menceritakan, telah berlaku satu perdebatan yang tidak rasmi antara beliau dan si anu...katanya si anu itu telah memulakan bicaranya dengan mempelawa sesiapa yang hendak bertanyakan sesuatu, silalah kemukakan soalan-soalan kepadanya. Ia seterusnya membawa satu tamsil katanya: “ Apabila kita melihat sebuah bukit dari jauh, kelihatan sama tinggi dengan kita. Tetapi apabila berdekatan, barulah sedar bukit itu jauh lebih tinggi...” Si anu itu mengibaratkan bukit itu sebagai dirinya dibandingkan dengan orang ramai.

Tidak ada sesiapa yang berani menyahut cabaran itu. Sejenak kemudian, Haji Ya‘acob dengan suara lantang mengemukakan masalah kepadanya. Si anu itu senyap sahaja, tidak dapat menjawabnya. Orang ramai mula menunjukkan reaksi menyokong Haji Ya‘acob kerana menarik hati dengan cara ia mengemukakan masalah yang menyebabkan si anu tidak mengangkat muka lagi.

Membina Jambatan: Salah satu jasa dan khidmat baktinya kepada masyarakat, Haji Ya‘acob telah membina sebuah jambatan kayu yang merentangi Sungai Sawa bagi menghubungi tebing bendang sebelah kampung Bukit Tiu dan tebing sebelah kampung Baka pada pihak yang lain. Inilah satu-satunya laluan yang agak selesa yang ada pada masa itu. Jambatan ini sering menghadapi kerosakan apabila dilanda banjir. Walaupun begitu beliau tidak jemu-jemu membaikinya berulangkali demi kepentingan orang ramai. Jambatan ini terus digunakan sehinggalah jambatan baru dibina kerajaan termasuklah jalan dan jambatan yang ada sekarang ini. Oleh kerana jambatan ini dibina dengan usaha beliau, ia dikenali dengan panggilan “Gertak Pakda Haji” sempena gelaran beliau yang lebih dikenali umum.

Meninggal Dunia

Setelah beberapa lama menjadi imam, pemimpin masyarakat, menabur jasa dan baktinya kepada agama dan anak mukimnya, Haji Ya‘acob menghembuskan nafasnya yang akhir pada malam Isnin 27 Disember 1976 bertepatan jam 9.43 kerana sakit tua di rumahnya di Kampung Bukit Tiu dalam usia 83 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan pada keesokan harinya di perkuburan Kampung Baka.

Tuesday 22 December 2009

Hajah Aminah

HAJAH AMINAH

Hajah Aminah, bonda kepada Haji Ya‘acob adalah adik kepada Haji Ismail bin Haji Senik @ Haji Abdul Hamid. Haji Ismail lebih dikenali dengan panggilan Tok Kemuning (1885-1934), salah seorang ulama terkenal dalam sejarah alim ulama negeri Kelantan. Aminah, bondanya itu seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan dan pelajaran anak-anak. Mempunyai kemahiran bertenun kain, melalui perusahaan yang dimiliki anggota keluarga sendiri.

Aminah telah membuat satu kejutan keluarga, di mana beliau telah berjaya mereka cipta sebuah pengisar padi yang diperbuat daripada batang kelapa. Kisaran ini mampu berfungsi sebagai kisaran biasa, dapat mengisar padi, membersihkan sekamnya. Sempena kejayaan yang bererti itu, Haji Ahmad Maher, sebagai tokoh intelek dalam keluarga telah menggubah sebuah syair yang panjang lebar memuji-muji kepandaian bonda saudaranya itu. Dengan kejayaan itu, Aminah telah mendapat sanjungan dan pujian bukan sahaja daripada kaum keluarga sendiri tetapi juga daripada penduduk kampung seluruhnya.

Hajah Aminah bertanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anaknya dengan didikan agama, mengajar mereka mengaji al-Quran dan memastikan mereka menunaikan segala tuntutan agama seperti solat, puasa dan sebagainya.

Meninggal dunia pada jam 8.30 malam Khamis 23 Rabiulawal tahun 1353H. Jenazahnya selamat dikebumikan di perkuburan kampung Baka.

Sunday 29 November 2009

Haji Yahya

2. HAJI YAHYA
Pendidikan
Haji Yahya, ayah kepada Haji Ya‘acob adalah seorang alim yang pada peringkat awalnya mendapat pendidikan daripada ayahnya sendiri. Kemudian melanjut pelajaran di Makkah al-Mukarramah, pusat ilmu Islam yang menjadi kiblat bagi umat Islam dari seluruh dunia. Di sana, beliau terdedah kepada suasana pengajian dan pembelajaran yang lebih luas, dapat menimba berbagai-bagai ilmu Islam daripada tokoh-tokoh ilmuwan pada masa itu.
Membuka Pondok
Setelah menimba berbagai-bagai ilmu, Haji Yahya pulang ke tanah air ingin berbakti kepada anak bangsanya yang masih kekurangan dalam menguasai ilmu-ilmu Islam pada masa itu. Sekembalinya di tanah air, beliau dilantik menjadi imam yang pertama bagi Surau Mukim Baka. Menyedari betapa pentingnya pendidikan agama kepada masyarakat, sebagai seorang alim, Haji Yahya bukan sahaja menjadi imam yang bertanggung jawab menjalankan pentadbiran suraunya, tetapi sesuai sebagai seorang alim, beliau membuka sistem pengajian pondok di Kampung Baka. Beliau menguasai berbagai-bagai ilmu Islam seperti Fiqah, Usuluddin, Tafsir dan sebagainya. Beliau bukan sahaja menguasai kitab-kitab bahasa Arab tetapi juga kitab-kitab Jawi.
Murid-Murid
Murid-murid yang belajar di pondoknya itu bukan sahaja terdiri daripada anak-anak mukimnya sahaja, tetapi juga datang dari mukim-mukim lain. Menurut catatan beliau, murid-muridnya yang belajar di pondoknya adalah seperti berikut:
Ini jumlah orang duduk mengaji berpondok di Surau Imam Haji Enchik Yahya Kemuni Baka di dalam Daerah Kuim Umat:
Muhammad anak Gemulah Ja‘afar duduk dalam daerah
Kuim Encik Mahmud di dalam Mukim Imam Haji Nik Wan.
Encik Amat anak Encik Ngah.
Mat Hasan anak Mat Ali
Majid anak Gemulah Hamad.
Encik Amat anak Fiah.
Awan Pandak Awan anak Jambul
Encik Dud Encik Qadir
Ini jumlah orang di Surau Haji Enchik Yahya juga duduk di dalam daerah Kuim Umat Mukim Haji Encik Ibrahim:
Awan anak Abu Bakar
Yahya anak Sulung
Awan Nuh anak Gemulah Boto’
Penghidupan
Dalam usaha membina penghidupan dan meninggikan taraf kehidupan keluarga, Haji Yahya rajin berusaha, berladang dan berkebun, malah mempunyai perusahaan tenunan kain yang diusahakan oleh anggota keluarganya sendiri, dijalankan oleh anak-anak perempuan mereka. Dalam peringkat awal dahulu, kain hasil tenunan anak perempuannya Che Fatimah masih tersimpan dengan baik. Tetapi walau bagaimanapun bidang tenunan ini tidak diwarisi oleh generasi keluarga yang kemudian, ia terhenti setakat itu sahaja kerana mereka lebih menumpukan kepada usaha berkebun getah. Beberapa alat tenunan seperti alat pemutar benang masih dapat dilihat pada peringkat awal dahulu, tetapi kini semuanya telah lenyap ditelan zaman.
Meninggal Dunia
Setelah berjaya dalam bidang pendidikan dan membina penghidupan keluarga, Haji Yahya menghembuskan nafasnya yang akhir pada malam Khamis 2 Jamadil Akhir 1331H dan dikebumikan di perkuburan Kampung Baka. Ketika itu Haji Ya‘acob baru berusia 17 tahun.
Surat Tulisan Tangan Haji Yahya
Ada tiga pucuk surat tulisan tangan Haji Yahya yang tersimpan dalam simpanan anaknya, Haji Ya‘acob. Untuk tatapan keluarga, di bawah ini diabadikan berserta transliterasinya supaya dapat diketahui kandungannya:
(1) Surat Haji Yahya Kepada Imam Surau Tuba
Ya Ghafurar Rahim
Alhamdulillahi Wahdah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Daripada Adinda Haji Yahya ke bawah Hadrat al-Fadil iaitu Syaikh Ibrahim Imam Surau Tuba harapkan maaf banyak-banyak bagi adinda apabila sampai surat ini ke bawah hadrat mintalah kekanda beri kepada orang yang membawa surat ini berilah adinda yang kekanda berutang sepuluh rial itu. Adinda waktu perbuat surat ini ada di rumah Haji Ali Wassalam walkhitam.
Tersurat pada pagi hari Jumaat 3 Syawal 32 Hijrah
Peringatan
Jawapan daripada Syaikh Ibrahim tertulis pada tepi surat tetapi sebahagiannya telah hilang, tak dapat dibaca sepenuhnya.
(2) Surat Ta‘liq Perkahwinan
28 Muharram tahun 32 Hijrah
Pada malam Selasa sahaya Imam Haji Yahya berkahwin Saman dengan Encik Teh orang Limbat di dalam Mukim Haji Nik Hasan emas kahwin dua puluh tuna dan harga rumah pembawakan dua puluh rial dan berta‘liq fasal katok godang dan jika ia tinggal sampai setahun cukut serta isteri ia pergi mengadu kepada orang bercara tertalak isteri dari dia.
Ini Ingatan Perhamba Imam Haji Yahya Wasiat
Tuan Guru Perhamba Haji Encik Ibrahim
Imam Kemuning
Maka utang diri dia daripada tukang lembut pertama tukang lembut gadai pending satu sembilan puluh rial dan Tukang Lembut ambil subang diri dia sepasang berat enam rial emas dan gelang sepasang Tukang Lembut gadai kepada diri kurang dua enam puluh rial dan pedukut satu dan kacing baju enam belas biji harganya tiga puluh enam rial maka kacing baju itu Tukang Lembut pijang ambil balit hingga sekarang tiada Tukang Lembut hantar.
Perbuat surat ini pada tahun 1322 di dalam bulan Ramadan
Dan pukat satu pula Imam Haji Encik Ibrahim suruh Tukang Lembut baiki hingga sekarang tiada boleh juga dan harga besi empat rial Tukang Lembut tiada bayar juga dan sewa tanah lima rial Tukang Lembut tiada bayar juga.
Katibuhu
Imam Haji Yahya
(4) Surat Daripada Haji Ibrahim Tuba Kepada Haji Yahya
Kepada Hadrat Adinda Yang Alim Imam Masjid Baka Tuan Yahya
Ja‘alahullahu Taala Min Ibadihil
Mukhlisin Amin
Qauluhul Haqq
Bismillahir Rahmanir Rahim. Al-Hamdulillah Haqqa Hamdih wassalatu was-salam ala khairi man arsalahu. Daripada ahqar al-wara wa ad‘af al-Ibad kekanda Haji Ibrahim Tuba kepada ni‘am al-akh wa asyfaq ar-rafiq adinda yang alim al-Fadil Tuan Haji Yahya Imam Masjid al-Baqa’ dan anakanda Khatib Ismail dan adinda Bilal Sulaiman dan anakanda Tuan Haji Abdul Majid dan adinda Tuan Haji Awan dan segala anak-anak adik hamba Lebai Ali rahimahullah tiada tahukan nama-namanya yang mulia sekaliannya maka kekanda nyatakan ke bawah hadrat adinda yang akram serta segala yang tersebut handaklah antum wal-mazkur datang ke teratak kekanda beri sampai pagi-pagi selasa enam haribulan Jamadil akhir kekanda hendak khunduri menjauhkan bala dan minta selamat anak kekanda hendak turun bagi ziarah Baitillah dan Rasulullah s.a.w. serta sebanyak-banyak salam takzim kekanda ke bawah hadrat adinda dan sekalian yang tersebut dan lagi anak-anak marhum abang Mahak hendaklah adinda tolong dan Tok Ku Jang lebai Kacil beri bersama-sama adinda dan lagi mana yang patut boleh adinda ajakkan kawan kekanda telah lupa nama-namanya wassalam
Buat surat Selasa 24 Jamadil Awal.

Tuesday 24 November 2009

Sejarah Keluarga Sepintas Lalu

SEJARAH KELUARGA SEPINTAS LALU
RIWAYAT HIDUP DAN KELUARGA
Pendahuluan
Sebelum kita memperkenalkan riwayat hidup Haji Ya‘acob bin Haji Yahya yang menjadi fokus utama tulisan ini, lebih dahulu kita memperkenalkan keluarga beliau iaitu Haji Ilyas, ayah kepada ayahnya, Haji Yahya, ayahnya sendiri dan bondanya Aminah binti Haji Abdul Hamid. Dengan pengenalan yang pendek ini moga-moga dapat kita mengetahui sedikit sebanyak peribadi, susur galur keluarga.
1. HAJI ILYAS

Haji Ilyas berasal dari Perlis dan pernah memegang jawatan Qadi negeri Perlis. Beliau berhijrah ke Kelantan kerana berlaku perselisihan dengan pihak-pihak tertentu di Perlis yang memerintah pada masa itu. Demikian keterangan daripada Haji Ya‘acob kepada penulis, tetapi apakah punca perselisihan itu tidak dijelaskannya. Justeru Haji Ya‘acob mempunyai pertalian nasab yang amat dekat dengan keluarga Haji Nawi saudara Haji Ilyas yang menetap di Perlis. Inilah punca salasilah keturunan keluarga Haji Ilyas yang berada di Kelantan dan satu pihak lagi berada di Perlis. Kedua-dua keluarga ini telah berkembang dan masih berhubungan pergi-mari, ziarah menziarahi antara satu sama lain, mengeratkan hubungan silaturahim sejak daripada generasi awal sampai kepada generasi hari ini.
Di Kelantan, pada awalnya Haji Ilyas tinggal di Machang, kemudian pindah bermastautin di Bachok kerana di Machang pada ketika itu sukar mendapat bekalan ikan yang merupakan kegemaran utamanya. Meninggal dunia di Bachok dan jenazahnya dikebumikan di perkuburan Bachok. Pada peringkat awal dahulu, pusaranya sentiasa diziarahi cucu cicit beliau, tetapi kini, kuburnya sudah tidak lagi dapat dikenalpasti tempat letaknya.
SURAT TULISAN TANGAN HAJI ILYAS
Bagi mengabadikan tinggalan yang masih ada, untuk tatapan waris-waris dan keluarga, di bawah ini diperturunkan dua pucuk surat tulisan tangan Haji Ilyas berserta dengan transliterasinya moga-moga menjadi kenangan manis bagi keluarga sekalian, iaitu:
Alamat surat ini barang disampaikan kepada anakanda Haji Yahya di dalam daerah Kemuning di Kampung Machang adanya tamat.
(1) Surat Minta Hutang
Qauluhul Haqq
Alhamdulillahi wahdah. Wassolatu wassalamu ‘ala man la Nabiyya ba‘dah
Maka inilah surat daripada ayahanda Haji Ilyas yang ada di Bachok barang diwaslkan Allah kepada anakanda Haji Yahya yang dari hulu Kemuning sallamahullahu Ta‘ala fid darain amin. Ahwal maka adalah fasal rial-rial ayahanda yang orang-orang berhutang itu...sampai surat ini boleh anakanda pergi minta ambil kirim beri mari kepada ayahanda atau anakanda bawa mari sendiri serta bawa mari kain yang anakanda Maryam tolong tenun itu sama dan yang baharu ambil rial ayahanda dua orang pertama Tuan Minah anak Engku Bechah Mulung. Ia berhutang rial tua tiga rial dan Tok Lebai Deris serial tua dan Engku Nik Tapung pun ada dua rial lagi dan Engku Tuan Komen enam kupang lagi dan rial dari Senik dan Abdul Ghani itupun pintak juga dan rial yang pada Tuan Konor itu pun...ambil maka masa ia...itu mu beri rial dengan segera belum mengetam padi ini jangan ambil penyewanya dan pada Mahat tiga rial dan pada Engku Besar Tuan Lebar empat sekalian rial-rial boleh anakanda tolong...dan setengahnya boleh bonda anakanda persampai tolong...rial-rial itu dan boleh bawa mari rial-rial itu pada Zulqaedah lepas...ini. Tersurat pada malam selasa dua belas...tahun 1312. Tamat
(2) Surat Permohonan Padi Zakat
Ya Mujibas Saailin
Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassolatu Wassalamu ‘ala Saiyyidina Muhammadin Wa ‘ala Alihi Wasahbihi Ajmain
Selepas puji-pujian yang tersebut di atas maka inilah kekanda Haji Ilyas menyatakan kepada adinda...dari Hulu Kemunin Kampung Machang, sallamahu lahu fiddunya wal-akhirah amin. Ahwal maka sekarang surat ini menaruh harap kekanda pinta adinda pergi tolong sampaikan salam sembah kekanda kepada anak-anak menteri tuan penghulu kita di Kemunin itu kata kekanda pohon padi zakat seperti Engku Nik Long dan Tuan Fatimah dan Engku To’ dan Tuan Minah dan sekalian anak-anak rahimallah Engku Bijal maka kekanda fikir segala tuan-tuan penghulu kita di Kemunin itu ada mereka itu ingat hendak beri zakat kepada kekanda tetapinya di dalam hati mereka itu hendak beri pun nanti kekanda naik pergi ke Kemunin maka kekanda tiada nampak boleh pergi Kemunin lagi tahun ini jika tiada gajah sebab itulah jadi kekanda buat surat tambahanlah tahun ini kata khabarnya padi menjadi di Kemunin lebih daripada tahun dahulu dan orang lain-lain pun jikalau ada setengah-setengah mereka itu patut boleh adinda tolong berkhabar sama kata kekanda hendak pinta zakat segantang dua apahalnya dan jika ada mereka itu beri zakat kepada kekanda boleh anakanda Haji Yahya tolong...ada kekanda sudah wakil akan dia fasal itu maka jika ada bolehnya adinda tolong jual beri harganya mari kepada kekanda ahwal tersurat pada hari Khamis selikur bulan Muharram tahun 131... wakatabahu al-Haji Ilyas bin Haji Abdullah Perlis. Tamat.

Friday 16 October 2009

Gambar Haji Ya'acob Haji Yahya





Gambar diambil pada 18 Ogos 1973


Sunday 27 September 2009

Objektif Blog

Objektif

  1. Memudah dan mengeratkan hubungan keluarga dan kaum kerabat.
  2. Menyimpan data-data, hal-hal dan peristiwa-peristiwa penting dalam keluarga, masyarakat dan sejagat.
  3. Menyalin semula hasil karya dan kertas kerja silam dan terkini.
  4. Menjawab soalan-soalan, memperkenalkan tokoh-tokoh dan isu-isu penting.

Sunday 13 September 2009