Thursday 25 February 2010

BINGKISAN DARI “PUTERA ABADI” UNTUK “PERIA JAYA”

Peringatan

Era selepas merdeka, kebanyakan penulis-penulis muda menggunakan nama samaran. Penulis juga mempunyai beberapa nama samaran, antaranya Putera Abadi (Pauzi Awang) sebagaimana yang digunakan pada tulisan ini. (asalnya tulisan Jawi)

BINGKISAN DARI “PUTERA ABADI” UNTUK “PERIA JAYA”
TIDAK ADA PERUMPAMAAN DAN BIDALAN-BIDALAN YANG MELEMAHKAN SEMANGAT
(Warta Mingguan Hari Ahad 2 Muharram 1380- Harian: Warta Negara)

Dalam Warta Mingguan 29 Mei 1960 baru-baru ini, saudara Peria Jaya telah menulis tentang perumpamaan dan bidalan-bidalan Melayu di bawah tajuk “ Ada Perumpamaan Dan Bidalan-Bidalan Yang Melemahkan Semangat.” Setelah dikaji dan dihalusi tentang tulisannya itu, maka ketaralah bahawa pendapatnya itu adalah suatu kepalsuan yang tidak berdasarkan alasan-alasan yang benar, malahan seolah-olah pendapat seorang kanak-kanak yang belum matang fikirannya, alangkah sempitnya fikiran saudara Peria Jaya dalam memberi makna tentang perumpamaan dan bidalan-bidalan Melayu, hingga membawa ke satu jurang yang dalam dan jauh terpesong dari landasan hakikat yang dikehendaki. Untuk mengelakkan hal inilah makanya makalah ini tertulis. Semoga dengan ini tidaklah beliau meraba-raba dalam kegelapan dan kejahilan.

Pujangga Tak Main-Main

Kita, sebagai bangsa Melayu harus mengucap syukur kepada datuk-nenek, kepada Pujangga, dan pendeta-pendeta bangsa kita yang telah berusaha memeras otak menciptakan kata-kata hikmat yang berupa perumpamaan, bidalan, pepatah dan sebagainya. Segala pusaka ini tidak seharusnya kita hapuskan dari perpustakaan kita, tetapi sebaliknya hendaklah kita pertahankannya, agar segala perbendaharaan kita kekal subur dan berkembang luas. Barangkali orang yang bodoh sajalah yang akan menghapuskan pusaka yang telah ditinggal oleh datuk neneknya. Pujangga kita dimasa lampau, bukanlah membuat sesuatu perkara dengan hanya secara main-main atau dikeluarkan dengan otak yang kosong, sebenarnya, semuanya itu adalah hasil dari perahan otak dan fikiran yang logik. Orang-orang yang tidak menghormati segala peninggalan datuk neneknya itu bolehlah dianggap sebagai pengkhianat bangsa, penceroboh masyarakat dan penderhaka.

Erti Perumpamaan

Sekarang marilah pula kita analisakan perumpamaan yang dianggap oleh saudara Peria Jaya satu perkara yang boleh menyebabkan kelemahan orang-orang Melayu. Setelah diteliti dengan halus dan difikir matang-matang maka perumpamaan-perumpamaan ini bukanlah melemahkan bangsa Melayu, tetapi sebaliknya pula mendapatkan semangat dan jiwa yang boleh menghidupkan orang-orang Melayu. Lebih dahulu marilah kita perhatikan perumpamaan ini: “Untung sekarung takkan boleh jadi seguni”. Perumpamaan ini adalah merupakan nasihat kepada orang-orang yang berputus asa, orang yang telah mengorbankan tenaganya, tetapi hasilnya Cuma sedikit saja (ini bukanlah bererti terkhas kepada kejadian ini saja, tetapi boleh dipersesuaikan dengan yang lain-lain) andainya seorang nelayan yang telah pergi ke laut sehari suntuk kerana menangkap ikan, tetapi hasilnya Cuma beberapa ekor ikan saja. Bila kembali ke rumahnya ia merungut-rungut tentang hasilnya yang sedikit itu. Tetapi isterinya bijak lantas menasihatinya dengan kata-kata yang memberi perangsang dan semangat baru kepadanya dengan berkata: “Tak usahlah merungut-rungut, untung sekarung takkan jadi seguni”. Jadi dengan kata-kata ini hatinya yang panas itupun reda, lalu ia mencari sebab-sebab untuk mengatasi kesulitan ini dan berfikir mencari jalan dan ikhtiar baru bagi menambahkan nasibnya yang sekarung itu supaya menjadi seguni. Dengan ini, berertilah bahawa fikirannya akan bergerak maju mencari jalan untuk meneguhkan perekonomiannya.

Tentang erti: “ Kalau kail sejengkal jangan lautan hendak diduga” dapatlah kita katakan bahawa perumpamaan ini benar-benar memberi nasihat dan pengajaran yang bernilai kepada seseorang, kerana perumpamaan ini merupakan suatu amaran yang hebat kepada seseorang iaitu janganlah seseorang itu cuba menceburkan dirinya ke lembah kebinasaan dan kerosakan. Sebagai contohnya cubalah perhatikan iaitu sekiranya saudara Peria Jaya mempunyai harta sebanyak 50 sen maka janganlah cuba hendak membeli motokar yang berharga lima ribu ringgit, kerana akibatnya buruk sekali. Sebaliknya pula hendaklah lebih dulu berikhtiar supaya kail yang sejengkal itu menjadi seribu jengkal. Ini adalah dari segi perekonomian, dan boleh pula disesuaikan dari segi pendidikan iaitu sekiranya seseorang yang tamat pelajarannya setakat darjah tiga sekolah rendah, maka tak usahlah bercita-cita hendak menjadi lawyer, menjadi hakim dan sebagainya, kerana perkara itu sia-sia saja dan ini adalah perbuatan orang yang bodoh. Dengan tidak secara langsung perumpamaan ini memberi semangat supaya seseorang yang hendak menduga lautan, maka hendaklah lebih dulu berikhtiar supaya kail yang sejengkal itu menjadi seimbang dengan lautan dalam yang hendak diduganya itu.

Rasanya sudah mencukupi dengan dua kupasan perumpamaan ini memberi gambaran secara kasar bahawa tidak ada perumpamaan yang melemahkan semangat, pendek kata segala perumpamaan ini adalah benar-benar memberi nasihat dan pengajaran atau sebagainya. Hanya orang yang jahil dan bodoh sehajalah tidak dapat mengambil faedah dari perumpamaan-perumpamaan itu.

Apa Yang Harus Direvolusikan

Sebagai kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa tidak ada perumpamaan dan bidalan-bidalan atau sebagainya yang melemahkan semangat. Apa yang harus direvolusikan ialah cara-cara memberi pengertian dan keterangan-keterangan terhadap perumpamaan-perumpamaan itu. Seseorang yang hendak memberi kupasan dan pengertian-pengertian, hendaklah lebih dahulu berfikir masak-masak, dan kupasannya itu janganlah terlalu sempit. Gunakanlah takwil-takwil yang berdasarkan keilmuan yang benar-benar merupakan suatu hakikat yang nyata dan berdasarkan fikiran-fikiran yang logik. Pendek kata perumpamaan Melayu, adalah suatu sumber yang tak kering-kering mendatangkan geliga dan hikmat kepada masyarakatnya, boleh dipersesuaikan bila-bila masa pun sama ada di zaman purba atau di zaman moden. Tidaklah keterlaluan dan bohong kalau dikatakan bahawa perumpamaan Melayu adalah pusaka yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

No comments:

Post a Comment