Monday 17 May 2010

INGINKAH JAGUH-JAGUH DARA TUA MENCARI SUAMI?

INGINKAH JAGUH-JAGUH DARA TUA MENCARI SUAMI?
Oleh: Putera Abadi
(Warta Negara, Khamis 12 Mei 1960)

Soal anak dara tua, bukanlah soal baru dalam masyarakat kita, malah telah lama dipercakapkan, dan banyak pula penulis-penulis membentangkan pendapat masing-masing melalui bidang-bidang akhbar ataupun majalah-majalah. Bukan sedikit anak dara tua yang telah berputus asa dan merasa kecewa dalam soal berumahtangga, dan tidak kurang pula yang tipis imannya telah menceburkan diri ke lembah kehinaan disebabkan godaan syaitan dan panggilan nafsu yang meluap-luap. Akhirnya tubuh badan mereka berlumuran kekotoran noda dan dosa. Lebih dulu marilah kita mengetahui batasan umur anak dara tua supaya dapat kita mengetahui soal yang bersangkutan dengan cara lebih dekat dan mendalam.

Untuk menghadkan permulaan umur bagi seorang wanita memasuki lingkungan anak dara adalah rumit sekali, kerana berbeza-beza orang memberi batasannya. Ada orang mengatakan dari dua puluh lima tahun ke atas, ada pula yang mengatakan dari tiga puluh tahun ke atas, dan ada bermacam-macam lagi pendapat tentang memberi batasannya.

Perbezaan ini adalah disebabkan berlainan corak dan suasana sesuatu masyarakat. Misalnya masyarakat kampung, maka batasan umur bagi anak-anak dara tua adalah lebih rendah dari masyarakat kota. Kebanyakan ibu bapa di kampung-kampung sudah merasa curiga dan bimbang kalau anak gadisnya telah meningkat umur lima belas tahun, sedangkan pemuda-pemuda belum melamarnya. Tetapi bagi orang-orang kota umur-umur setakat ini hanya baru setahun jagung, masih mentah lagi dan dianggap sebagai biasa saja.

Jadi, kalau mengikut batasan ini (15 tahun) tentulah sudah keterlaluan dan zalim kepada wanita-wanita kerana hal ini membawa kepada ramainya bilangan gadis-gadis yang menyandang pangkat “Anak Dara Tua”. Untuk tidak keterlaluan dan zalim kepada gadis-gadis maka mengikut pendapat saya, elok benarlah umur anak dara tua dimulai dari dua puluh lima tahun ke atas. Jadi, wanita-wanita yang berumur dua puluh lima tahun belum mempunyai suami, atau belum mempunyai tunang atau tidak menduduki bangku pelajaran dan tidak ada sesuatu yang menghalang berhaklah menyandang pangkat “Anak Dara Tua”.

Seseorang wanita yang melangkah masuk ke dalam lingkungan dua puluh lima tahun maka separuh kesukaan dan kenikmatan dunia hampir lenyap buatnya. Meskipun begitu janganlah pula berputus asa, berperasaan kecewa dalam mencari nikmat dan kesukaan hidup yang diredai Tuhan, kerana dunia masih luas, dan jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan.

Tuhan Maha Adil, Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Segala pasangan masing-masing adalah dalam kiraan-Nya. Jadi, tidak seharusnya bagi anak dara tua berputus asa. Tuhan tidak suka orang yang berputus asa.

Adalah suatu perkara bodoh kalau wanita merasa malu dan kecewa hati bila umurnya meningkat dua puluh lima tahun sedangkan lelaki seorang pun belum melamarnya janganlah menganggap dirinya sudah tidak ada harga diri lagi, dan janganlah menyangka bahawa pintu kebahagiaan rumahtangga seolah-olah telah tertutup rapat dan peluang mencari jodoh seolah-olah telah lenyap dalam hidupnya. Sebenarnya perkara ini, tidak perlu wanita-wanita merasa malu, kerana mungkin jodohnya belum tiba. Bila jodohnya sudah tiba ayuhlah bergembira!

Untuk memberi gambaran yang lebih terang dalam soal anak dara tua, maka elok rasa penulis bentangkan di sini beberapa perkara yang boleh mendara-tuakan gadis-gadis. Setengah daripada beberapa faktor yang berkemungkinan mendara-tuakan gadis-gadis adalah seperti berikut:-

1. Terlalu memilih bakal suami
2. Mempertahankan kufu- adat
3. Maskahwin terlalu tinggi
4. Terlampau bebas bersosial hingga menjolok mata.

Setelah kita mengetahui setengah daripada sebab-sebab yang mendara-tuakan gadis-gadis, sekarang marilah pula kita mencari jalan untuk mencegah daripada menjadi dara tua. Semoga dengan ini bilangan anak-anak dara tua di kalangan masyarakat kita tidak akan bertambah banyak.

Mengikut pendapat penulis setengah daripada perkara yang boleh mengelakkan dari menjadi dara tua ialah: (1) Orang tua mestilah mengambil berat tentang soal mempersuamikan anak gadisnya. Bila ada lelaki melamar anaknya, dan anaknya sudah layak bersuami, maka janganlah dilengahkan lagi. Teruslah kahwinkannya. Ini pun dengan syarat ada persetujuan dari anaknya, atau tidak ada gara-gara anaknya membantah. Kalau anak gadisnya sudah mempunyai pemuda pujaan hati, pilihan sendiri, dan pemuda itu sanggup mengambilnya sebagai isteri, maka hendaklah diperkenankan mereka berkahwin.

(2) Janganlah memperbesarkan sumber-sumber menjadi anak dara tua yang tersebut di atas, seorang gadis tidak sayogia memilih bakal suaminya, atau orang tua memilih bakal menantunya seperti memilih antah beras kerana tidak ada seorang jua pun di dalam dunia ini yang cukup sempurna dari segenap segi.

Orang tua tidak harus mempertahankan kufu dan adat, janganlah bermegah-megah dengan keturunan Sayed, Syarifah, Raja, Tengku dan sebagainya, kerana manusia adalah sama saja di sisi Tuhan kecuali orang yang bertakwa. Maskahwin jangan terlalu mahal sampai beribu-ribu ringgit, seolah-olah anaknya itu barang jualan atau barang dagangan yang tak boleh ditawar-tawarkan lagi.

Gadis-gadis janganlah terlampau bebas bergaul dengan lelaki berkeliaran ke sana ke mari hingga menyalahi sopan santun masyarakat Timur dan melanggar garisan-garisan yang dikehendaki oleh Islam. Jauhilah sifat-sifat (pengaruh-pengaruh) Barat yang merbahaya, yang boleh membawa kehancuran terhadap susila Timur yang bersesuaian dengan ajaran Islam.

Sekarang marilah pula kita mencari jalan untuk mendapat teman hidup, lelaki dan wanita penting sekali mencari pasangan hidup masing-masing. Lelaki dan perempuan tidak seharusnya berperasaan malu untuk mencari jalan bagi mendapat teman hidup yang diredai Tuhan. Seorang lelaki bila hendak beristeri janganlah malu-malu memberitahu kepada orang tuanya, dan perempuan (gadis) pula janganlah segan-segan menyatakan hasrat hatinya kepada walinya (bila ia hendak dipersuamikan) secara setuju atau tidak. Kalau masing-masing telah mempunyai pilihan sendiri nyatakanlah berterus terang.

Satu cadangan saya kemukakan kepada dara-dara tua khasnya dan pemuda-pemudi amnya, bahawa seseorang yang ingin mencari teman hidup hendaklah siarkan wajahnya, kenyataan dirinya, alamatnya dan syarat-syarat bagi seorang yang bakal menjadi suami atau isterinya melalui surat-surat khabar atau majalah-majalah sepertimana yang telah dilakukan dan sedang dijalankan oleh pemuda-pemudi Mesir dan negara-negara yang telah berkemajuan.

Mengikut hemat saya, cadangan ini amat baik untuk dipraktikkan di dalam negara kita. Semoga dengan ini akan terhindarlah gadis-gadis dari menjadi dara tua, dan akan berkuranglah bilangan jaguh-jaguh dara tua dan bujang lapuk yang bergelimpangan dan berselerak di tanah air kita. Siapakah di antara jaguh-jaguh dara tua yang akan mempelopori untuk menjalankan cadangan ini? Silalah jangan malu-malu.